KOLEJ SWASTA DI SABAH 5 BINTANG


KOTA KINABALU 28 Dis. - Tiada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negeri ini yang mendapat penarafan enam bintang dalam penilaian Sistem Pengukuran Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQUEST) 2010/2011.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, hanya dua kolej swasta di negeri ini yang mendapat penarafan lima bintang.

"Bagi saya pencapaian keseluruhan kolej swasta di negeri ini seperti sweet and sour,bagaimanapun saya optimistik, jika semua pihak terbabit berusaha kita akan dapat meningkatkan lagi ke tahap terbaik.

"Jadi, saya harap, kalau kualiti mereka di bawah tiga bintang, mereka akan mengambil tindakan dan membaikinya kepada sekurang-kurangnya tiga bintang dalam audit 2013 nanti," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta Sabah (PIPTSS), Datuk Wong Khen Thau.

Menurut Masidi yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pelajaran negeri, hanya terdapat 16 buah kolej swasta di negeri ini bertindak proaktif mengambil inisiatif mengikuti program MyQUEST.

Katanya, daripada jumlah itu, Kolej Asian Tourism International (ATI) dan Kolej Antarabangsa Almacrest telah mendapat penarafan lima bintang.

Katanya, Kolej Eastern, Kolej Inti dan Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Kota Kinabalu pula telah mendapat penarafan empat bintang.

"AMC School of Business dan Institut Sinaran mendapat tiga bintang manakala Kolej Kinabalu Commercial dan Kolej Yayasan Sabah mendapat dua bintang.

"Kolej yang mendapat satu bintang pula ialah Institut Seni Sabah, Kolej Masterskill Kampus Metro Kota Kinabalu, Kolej Multimedia Sabah dan Kolej Teknologi Antarabangsa Cosmopoint Sabah," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak mereka dihantar ke institut pendidikan tinggi yang dapat memberikan kualiti pendidikan yang baik.

Jelasnya, maklumat mengenai penarafan setiap kolej boleh dirujuk di laman web Kementerian Pengajian Tinggi sebagai rujukan dalam memilih sesebuah kolej.

Sementara itu, Khen Thau berkata, pihaknya akan menubuhkan Tabung Pendidikan 1Sabah bernilai RM1juta bagi menyediakan geran bantuan kepada pelajar yang layak menyambung pengajian di kolej swasta di negeri ini.

"Geran berupa biasiswa ini akan diberi kepada pelajar Sabah, bagaimanapun, pada masa ini, kita masih membincangkan mekanisme yang akan dibuat dalam menyalurkan bantuan ini," ujarnya.

- Utusan

Comments